ARAU - MUZIK

BERENDOI


Kesenian Berendoi merupakan kesenian berunsur Islam yang disertai sekurang-kurangnya tiga atau empat orang yang akan berdikir atau menyanyi dengan irama berendoi dalam upacara ‘bercukur’ seseorang bayi yang berusia tujuh hari.

Biasanya berendoi iaitu buaian yang disediakan untuk upacara ini dihias indah dan seorang kanak-kanak yang telah dicukur rambutnya akan diletakkan di dalam endoi ini. Selepas itu, bermulalah nyanyian berendoi memuji Rasulullah atau yang mengandungi nasihat, semangat dan teladan dengan harapan unsur-unsur tersebut dapat diterapkan kepada bayi yang sedang diendoi itu.

Setiap lagu hanya empat rangkap, berbentuk syair seperti berikut
Kami mula dengan Bismillah,
Menyebut kedua Alhamdulillah,

Pohon nikmat kepada Allah,

Mendapat syafaat Rasulullah.
Kesenian yang murni ini berkembang pesat di negeri Perlis sekitar tahun 60-an setelah tertubuhnya Persatuan Maulud dan Berendoi yang berperanan memperkembangkan kesenian Maulud, Berendoi dan Berzanji.
Nota : Maklumat lanjut sila hubungi :

Tuan Haji Arof Haji Saad

Persatuan Maulud Negeri Perlis (PEMBINA)

Lot 914, Km 12,

Jalan Besar Kangar – Alor Setar,

02700 Simpang Empat, Perlis

Tel : 012-488 3984



Home » Perlis 

HADRAH


                                                                                                              





Hadrah berasal daripada perkataan ‘hijrah’ yang berunsurkan kesenian Arab. Dalam sejarah Islam, ketika penduduk Madinah menyambut penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W (622M), mereka memukul gendang beramai-ramai bagi menyambut kedatangan Rasulullah. Demikianlah juga kesenian Hadrah yang terdapat di negeri Perlis, sepasukan pemukul gendang akan berarak mengiringi perarakan pengantin atau menyambut seorang pemimpin dalam sesuatu majlis keramaian.

Kesenian ini begitu popular suatu ketika dulu dan dipersembahkan di istana-istana raja sehingga menular ke kampung-kampung. Oleh kerana Hadrah berasal dari Tanah Arab dan berkembang melalui Parsi dan India menyebabkan seni kata aslinya langsung tidak dapat difahami termasuklah oleh ahli-ahli pemain Hadrah itu sendiri. Di antara seni katanya berbunyi:

Sarmi hobai yasi sare

Sare hobai yasi sare

E sarmi hobai yasi sare

Ya Rasul-lil hoda

E sarwa ye

Di negeri Perlis, kesenian ini telah dibawa oleh seorang tokoh Hadrah dari Pulau Pinang beserta dengan tariannya dan mula berkembang sekitar tahun 1910. Lazimnya penari Hadrah terdiri daripada empat orang lelaki yang dilatih dan diasuh supaya berlagak dan menari seperti perwatakan lenggok wanita. Mereka dapat mempersembahkan tarian Hadrah ini dengan begitu lemah-lembut mengikut rentak gendang yang dipukul oleh 8 hingga 10 orang. Di samping penari, terdapat seorang ‘peran’ yang merupakan pelawak yang bersama para penari dalam sesebuah persembahan Hadrah.

Semenjak awal tahun 80-an, kesenian ini tidak lagi menggunakan penari lelaki yang menyamar menyerupai wanita kerana bertentangan dengan agama Islam. Lagu-lagunya pula telah berkembang menggunakan seni kata bahasa Melayu yang boleh difahami selain mengekalkan lagu dan seni kata asal lagu-lagu Hadrah.
Nota : Maklumat lanjut sila hubungi :

Encik Bakar Mohamad

Persatuan Hadrah Seri Pauh

No. 65, Kampung Guring Tengah, Batu 1 ½,

Jalan Pauh,

02600 Arau, Perlis

Tel : 019-5294952






URUMI MELAM


                                                                                                     




Pergendangan India mula berkembang di Perlis sejak tahun 1987 yang dipelopori oleh rakyat Perlis sendiri yang berbangsa India. Pergendangan India atau lebih dikenali dengan panggilan Urumi Melam yang bermaksud ‘Gendang Urumi’ ini mempunyai beberapa peralatan utama yang sering digunakan iaitu gendang besar yang diberi nama ‘Tuel’ dan gendang kecil yang diberi nama ‘Urete Kadai’. Serunai yang dipanggil ‘Nadasorom’ juga menjadi salah satu instrumen tambahan dalam persembahan Urumi Melam ini bagi menghasilkan variasi muzik yang menarik.
Kebiasaannya Urumi Melam ini sering dipersembahkan di kuil untuk tujuan upacara keagamaan kepada tuhan-tuhan Hindu dan semasa upacara menjunjung kavadi. Selain itu, ia dipersembahkan di majlis adat perkahwinan dan meraikan sesuatu sambutan atau temasya.

Kebiasaannya pemain Urumi Melam ini mestilah tidak kurang daripada lima orang kerana ia memerlukan pukulan gendang yang mantap dan bunyi yang kuat hasil gabungan lebih lima orang tersebut. Terdapat empat cabang lagu dan irama dalam Urumi Melam ini iaitu Muniswaran, Murugan, Mariyamen, Matureveran.
Nota : Maklumat lanjut sila hubungi :

Encik Nalamuthumari a/l Raman

Kumpulan Muniswara

Batu ½, Jalan Pauh,

Arau, Perlis.

Tel : 012-4551641





Home » Perlis 

KANGAR - MUZIK

ALU BUNYI













Alu Bunyi merupakan persembahan kesenian yang kedua tertua di Perlis. Persembahan kesenian ini popular dan berasal di kalangan pesawah-pesawah padi. Mereka menggunakan peralatan pertanian bagi menghasilkan bunyi yang unik dan menghiburkan. Salah satu peralatannya adalah lesung padi, yang sebelumnya digunakan bagi menumbuk padi. Pukulan alu ke atas lesung menghasilkan rentak seakan sama dengan rentak dari peralatan muzik gamelan. Lesung dan alu biasanya diperbuat daripada kayu tui, jawi atau retak duri.

Mengikut sejarah, persembahan kesenian ini berasal dari pengembara Indochina. Untuk sampai ke Tanah Melayu, mereka telah mengembara menggunakan perahu yang belayar dekat dengan pantai dan mereka tinggal di kampung-kampung. Pendapatan mereka adalah hasil daripada penanaman padi dan mereka memainkan Alu Bunyi sebagai hiburan semasa waktu senggang. Ini kemudiannya menarik minat pesawah-pesawah Melayu untuk turut serta mempelajarinya.

Sebuah kumpulan Alu Bunyi mempunyai seramai 12 orang ahli. Mereka adalah terlatih dan mahir menggunakan peralatan muzik. Mereka mengetuk bahagian tengah dan tepi lesung menggunakan alu sambil diiringi alunan bunyi serunai dan ini akan menghasilkan irama yang harmoni. Ia kerapkali dipersembahkan semasa musim menuai dan semasa pesta menuai diadakan, pelbagai aktiviti lain turut diadakan seperti membuat emping dan ringgi.

Menurut kepercayaan sesetengah pihak, selain daripada hiburan, pesta ini juga adalah sebagai satu cara memuja semangat padi supaya datang ke kampung mereka dan tinggal di jelapang. Dipercayai juga bahawa semangat padi ini akan menghalang perosak padi seperti tikus dan burung daripada merosakkan tanaman mereka.
Nota : Maklumat lanjut sila hubungi :

Encik Mahmud Hashim

Simpang 3,

Kampung Baru Syed Omar,

01000 Kangar,

Perlis
Tel : 012-468 7728    



                                                                       
Home » Perlis 

BEDUAN


       
       






Beduan merupakan persembahan kesenian yang tertua di negeri Perlis. Kesenian ini muncul kira-kira 250 tahun yang lalu pada zaman pemerintahan Siam. Ia mula diperkenalkan oleh dua buah keluarga yang bersembunyi di atas puncak Bukit Tuk Wang Gunung bagi mengelakkan keganasan dan kekejaman tentera Siam. Di puncak bukit, keluarga tersebut berasa kesunyian dan mereka telah memukul keratan batang kayu sebagai gendang sambil menyanyi secara melaung-laung.
Setelah peperangan berakhir, kedua-dua keluarga ini kembali ke kampung halaman mereka lalu memperkenalkan kesenian tersebut kepada penduduk kampung dan diberi nama Beduan yang berasal daripada perkataan “berdua-duaan”. Kesenian ini amat popular semasa acara kenduri perkahwinan. Laungan nyanyiannya yang nyaring menjadi tanda penunjuk kepada tetamu menuju ke rumah pengantin tersebut. Tradisi Beduan ini biasanya dipersembahkan di atas balai yang dibina bersambung dengan rumah utama pengantin. Tetamu dan penonton akan berdiri di hadapan rumah bagi menyaksikan persembahan ini.

Ahli kumpulan Beduan terdiri daripada 10 sehingga 12 orang. Mereka memukul gendang sambil menyanyi dan melaung-laung. Gendangnya agak besar, ukur lilitnya kira-kira 140sm yang diperbuat daripada belulang lembu, kayu nangka atau temak. Terdapat tiga jenis gendang yang digunakan iaitu Gendang Pengibu, Gendang Peningkah dan Gendang Penganak. Dalam nyanyian Beduan, si pemukul gendang akan berbalas pantun dengan ahli yang lain. Akan tetapi ahli Beduan sahaja yang dapat memahami pantun tersebut kerana mereka menggunakan dialek yang difahami di kalangan mereka. Di antara pantunnya berbunyi:

Anak ayam di dalam celepa,
Buka tudung patuk padi,

Siang malam aku tak lupa,

Kasih terkandung di dalam hati.
Nota : Maklumat lanjut sila hubungi :

Encik Mahmud Hashim

Simpang 3,

Kampung Baru Syed Omar,

01000 Kangar,

Perlis
Tel : 012-468 7728                                                                                                              




Home » Perlis  

GENDANG TERINAI
      
                                                






Gendang Terinai merupakan sebuah kesenian muzik tradisional Perlis yang mula dikenali sebagai ‘Gendang Keling’ berdasarkan kepada kesenian India kerana pengaruh bentuk gendang yang panjang dan serunainya semenjak kedatangan orang-orang India ke Tanah Melayu. Pada tahun 1974 sempena Pertandingan Terinai, Menteri Besar Perlis pada ketika itu, Allahyarham Dato’ Jaafar Hasan telah mengumumkan pertukaran nama ‘Gendang Keling’ kepada ‘Gendang Terinai’ kerana muzik ini digunakan untuk persembahan Tarian Terinai.

Kesenian ini begitu popular suatu ketika dahulu dalam kalangan rakyat hingga ke istana raja. Ia masih diminati ramai khususnya dipersembahkan dalam majlis-majlis perkahwinan dan keramaian. Kini ia menjadi muzik rasmi di istana sempena menyambut pertabalan Raja dan hari ulang tahun keputeraan Raja Perlis.

Kumpulan Muzik Gendang Terinai lazimnya terdiri daripada empat orang iaitu dua orang memukul gendang panjang (pengibu dan penganak), seorang meniup serunai dan seorang memukul dua biji gong (gong jantan dan gong betina). Lagu-lagu yang sering dipersembahkan adalah lagu-lagu Melayu asli seperti Mula Pasang, Kutip Siput, Gong Panjang, Kucing Berlaga, Anak Tiung, Cinta Sayang dan Terinai.
Nota : Maklumat lanjut sila hubungi :

Encik Amil Senapi

Kumpulan Terinai Seri Budaya

Kampung Tok Kuning,

Marhum Kayang,

01000 Kangar, Perlis
Tel : 019-597 4765                                                                           



Home » Perlis 

MUZIK ASLI
  
                     







Merupakan persembahan muzik yang mengetengahkan irama tradisional seperti asli, inang, joget, zapin dan lain-lain diiringi nyanyian yang merdu. Alat muzik yang digunakan adalah seperti gendang, rebana, serunai, seruling, biola, akordion, tamborin dan gong.

Muzik Asli mula berkembang di Perlis sekitar tahun 1970-an dan terus mekar dan mendapat sambutan hangat sehingga kini. Kumpulan muzik asli sering kali dijemput untuk membuat persembahan di majlis-majlis keramaian seperti kenduri kahwin, kenduri berkhatan, acara menyambut pemimpin dan sebagainya.
Nota : Maklumat lanjut sila hubungi :

Encik Abu Hasin Long

Kumpulan Muzik Asli Wahana Indra

Dewan Orang Ramai

Batu 5, Jalan Kuala Perlis,

02000 Kuala Perlis, Perlis
Tel : 017-4200 641                                                                                                 


Home » Perlis  

HADRAH






Hadrah berasal daripada perkataan ‘hijrah’ yang berunsurkan kesenian Arab. Dalam sejarah Islam, ketika penduduk Madinah menyambut penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W (622M), mereka memukul gendang beramai-ramai bagi menyambut kedatangan Rasulullah. Demikianlah juga kesenian Hadrah yang terdapat di negeri Perlis, sepasukan pemukul gendang akan berarak mengiringi perarakan pengantin atau menyambut seorang pemimpin dalam sesuatu majlis keramaian.
Kesenian ini begitu popular suatu ketika dulu dan dipersembahkan di istana-istana raja sehingga menular ke kampung-kampung. Oleh kerana Hadrah berasal dari Tanah Arab dan berkembang melalui Parsi dan India menyebabkan seni kata aslinya langsung tidak dapat difahami termasuklah oleh ahli-ahli pemain Hadrah itu sendiri. Di antara seni katanya berbunyi:

Sarmi hobai yasi sare
Sare hobai yasi sare

E sarmi hobai yasi sare

Ya Rasul-lil hoda

E sarwa ye
Di negeri Perlis, kesenian ini telah dibawa oleh seorang tokoh Hadrah dari Pulau Pinang beserta dengan tariannya dan mula berkembang sekitar tahun 1910. Lazimnya penari Hadrah terdiri daripada empat orang lelaki yang dilatih dan diasuh supaya berlagak dan menari seperti perwatakan lenggok wanita. Mereka dapat mempersembahkan tarian Hadrah ini dengan begitu lemah-lembut mengikut rentak gendang yang dipukul oleh 8 hingga 10 orang. Di samping penari, terdapat seorang ‘peran’ yang merupakan pelawak yang bersama para penari dalam sesebuah persembahan Hadrah.

Semenjak awal tahun 80-an, kesenian ini tidak lagi menggunakan penari lelaki yang menyamar menyerupai wanita kerana bertentangan dengan agama Islam. Lagu-lagunya pula telah berkembang menggunakan seni kata bahasa Melayu yang boleh difahami selain mengekalkan lagu dan seni kata asal lagu-lagu Hadrah.
Nota : Maklumat lanjut sila hubungi :


Encik Mohamad Radzi Salleh

Kumpulan Bahagia Bestari

Dewan Orang Ramai Kampung Bahagia,

02000 Kuala Perlis, Perlis

Tel : 019-5425843


Home » Perlis 

PERGENDANGAN CINA
















Alat muzik yang digunakan dalam persembahan ini ialah 24 buah gendang shigu, iaitu dram tarian singa. Terdapat juga pasukan yang menggunakan gendang longgu. Kedua-dua buah gendang ini hampir sama dan merupakan gendang besar berbentuk tong. Gendang ini mempunyai satu muka kulit kerbau atau lembu pada bahagian atas yang dipaku pada bahan kayu dengan paku besi.

Di dalam gendang ini terdapat beberapa dawai besi seperti spring yang memberikan warna ton istimewa. Gendang ini diletakkan di atas rak kayu berkaki empat. Muka kulit gendang dipukul dengan menggunakan dua pemukul kayu.

Selain menggunakan gendang sebagai instrumen utama, terdapat juga penggunaan alatan tambahan bagi memvariasikan muzik pergendangan ini seperti menggunakan dram, gong dan simbal. Persembahan gendang ini biasanya dapat dilihat dalam upacara keagamaan di tokong, menyambut perayaan tahun baru, upacara memulakan perniagaan bagi mendapat tuah atau ‘ong’ dan sambutan-sambutan yang lain.
Nota : Maklumat lanjut sila hubungi :

Encik Low Tai Pong

Badan Kebajikan Penduduk-Penduduk Kediaman Cina Dan Siam

No. 512, Taman Mutiara,

Pengkalan Asam,

Behor Temak, 01000 Kangar, Perlis
Tel : 019-4611 988        
                                            

                                                                
Home » Perlis 


GENDANG PANJANG SIAM


                                                                     







Gendang Panjang Siam atau lebih sinonim dengan panggilan Theut Theung atau Klong Yao amat popular dikalangan masyarakat Siam. Gendang panjang ini menggambarkan identiti seni budaya masyarakat Siam dalam semua aspek persembahan yang diketengahkan sama ada dalam tradisi seni muzik, seni tari, seni lakon dramatari klasik malah dalam upacara dan perayaan yang lain.

Persembahan gendang panjang ini dimainkan oleh golongan lelaki dengan memalu gendang yang mempunyai satu muka paluan sahaja dan gendang ini akan digantung di badan mereka dengan menggunakan tali untuk bebas bergerak ketika mengadakan persembahan.

Persembahan ini memerlukan ramai pemalu gendang supaya bunyi yang dihasilkan mantap dan bertingkah. Selain gendang panjang, persembahan ini akan diikuti dengan alunan muzik yang lain dengan menggunakan alat muzik seperti Ching, Chap, Grap dan Mong.
Nota : Maklumat lanjut sila hubungi :

Encik Pin A/L Endin Klap

Persatuan Kebudayaan Siam Negeri Perlis

No. 63, Lorong Satu,

RPA Chuping,

02500 Bukit Keteri, Perlis
Tel : 012-4942 639                                                      



Home » Perlis 

GENDANG PERLIS
        
                                                            






Kesenian ini sebenarnya merupakan persembahan gendang silat yang khususnya dipersembahkan ketika ‘Temasya Laga Kerbau’ dalam zaman pemerintahan Tuanku Raja Syed Syaffi (1897-1905) dan Tuanku Raja Syed Alwi (1905-1943). Pada masa itu temasya laga kerbau merupakan suatu unsur hiburan rakyat dan istana.

Sekeliling gelanggang laga kerbau dibina pagar yang kukuh supaya kerbau yang sedang berlaga itu tidak merempuh orang ramai dan tempat pemukul gendang lazimnya di buat ‘ran’ atau ‘hang’ di atas pokok.

Kelainan Gendang Perlis jika dibanding dengan gendang silat biasa tidak menggunakan tiupan serunai seperti yang biasa digunakan dalam gendang silat. Pemukul gendang terdiri daripada dua orang yang memukul gendang ibu dan penganak dan menggunakan kayu yang bentuknya melengkung. Gendangnya pula lebih kecil daripada gendang silat.

Apabila temasya laga kerbau diharamkan maka Gendang Perlis tidak lagi dipersembahkan buat sekian lamanya. Tetapi kesenian gendang ini dihidupkan kembali dengan fungsinya yang berlainan dengan Gendang Perlis dahulu. Kini, Gendang Perlis dipalu dan dua orang pesilat akan bersilat dengan cara berjenaka dan ia bukan lagi dimainkan untuk berlaga kerbau. Gendang Perlis selalunya dipersembahkan dalam majlis-majlis kenduri perkahwinan atau dalam majlis-majlis keramaian.
Nota : Maklumat lanjut sila hubungi :

Encik Ibrahim Mat Saman

Felda Rimba Mas,

02100 Padang Besar Utara, Perlis
Tel : 019-5222 086                                                              


No comments:

Post a Comment