Home » P.Pinang  

SEBERANG PERAI UTARA - MUZIK

GHAZAL PARTI
        
                              






Ghazal Parti adalah gabungan persembahan muzik, nyanyian, tarian dan lawak jenaka. Ghazal parti mempunyai pengaruh dari Timur Tengah. Lagu-lagu ghazal parti berunsurkan irama padang pasir di mana liriknya dalam bahasa Arab atau Melayu. Perkataan 'parti' itu pula bermaksud kemeriahan permainan ghazal.

Ghazal Parti berkembang di negeri-negeri di utara Semenanjung seperti di Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Persembahan ghazal parti sering diadakan pada majlis-majlis perkahwinan di kampung-kampung dan pada majlis-majlis rasmi di bandar-bandar. Persembahan pada majlis-majlis perkahwinan bermula daripada awal malam hingga ke tengah malam dan ada ketika hingga ke awal pagi. Kumpulan ghazal parti selalunya membuat persembahan di dalam balai yang didirikan pada siangnya untuk jamuan. Balai ini menghadap anjung rumah pengantin supaya keluarga pengantin dan orang ramai dapat melihat persembahan mereka. Di dalam sebuah kumpulan ghazal parti terdapat lebih kurang 8 hingga 12 orang pemuzik. Jumlah pemuzik bergantung pada peralatan muzik yang ada. Antara peralatan muzik ghazal parti ialah akordion, dua buah biola, gambus, flut, gitar bass, drum, rebana, bongo, tamborin, romba dan marakas. Penyanyi-penyanyi ghazal parti mempunyai latar belakang pendidikan Arab. Ada di antara mereka yang belajar di madrasah atau sekolah agama rakyat. Lagu-lagu yang dipersembahkan ialah lagu-lagu Arab yang berirama masri dan sika yang berasal dari Mesir. Pada peringkat awal, penari ghazal parti ialah lelaki yang berpakaian wanita. Pakaian wanita yang dipakai ialah tudung, kain batik dan baju kurung berserta solekan yang nipis sahaja. Dalam persembahan ghazal parti wanita tidak dibenarkan menjadi penari. Namun pada tahun 1950an muncul golongan lelaki yang bersifat seperti perempuan (pondan) menjadi penari-penari ghazal parti. Satu lagi komponen dalam ghazal parti ialah lawak jenaka. Kewujudan lawak jenaka dalam ghazal parti ialah berfungsi untuk mengisi masa rehat pemuzik-pemuzik dan penyanyi. Dalam persembahan ghazal parti, pemuzik dan penyanyi akan berehat sebanyak 2 hingga 3 kali dan setiap kali berehat, ruang itu akan diisi oleh pelawak yang membawakan lawak jenaka berkisar hal-hal semasa.                                                                                           


No comments:

Post a Comment