BESUT - MUZIK
GAMUTRA
Sebagaimana yang kita tahu, sejak zaman-berzaman orang
telah bermain pelbagai alatan bagi membunyikan sesuatu sebagai tanda untuk
memberi isyarat, perkhabaran atau menghiburkan tetamu.
Kumpulan Muzik GAMUTRA ialah ringkasan dari Gabungan
Muzik Tradisional yang dibentuk oleh penggiat-penggiat seni budaya di daerah
Besut. Ianya bertujuan menggabungkan semua kesenian berbentuk muzik tradisional
dalam satu kumpulan yang boleh dipersembahkan dalam bentuk orkestra.
Alatan yang biasanya digunakan oleh kumpulan ini dalam
setiap persembahannya termasuklah rebana ubi, gendang panjang, kertok, gendang
makyong, geduk wayang kulit, gong, serunai dan rebab. Kumpulan ini juga akan
mempersembahkan lagu-lagu tradisional tempatan seperti lagu Ulek Mayang, lagu
Rodat dan lagu Dikir Barat yang mana mempunyai keahlian dari 50 orang
sehinggalah kepada 100 orang.
Kumpulan Muzik GAMUTRA ini yang mempunyai keahlian antara
50 orang sehinggalah kepada 100 orang boleh mengisi pelbagai aktiviti kesenian
termasuklah persembahan seperti silat, wayang kulit, makyong, dikir barat, main
puteri, perarakan serta acara sambutan untuk tetamu kehormat.
Sehingga kini, pelbagai persembahan telah dilaksanakan
oleh Kumpulan Muzik GAMUTRA ini sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun
kebangsaan. Kumpulan ini diuruskan oleh Majlis Kebudayaan Daerah Besut.
Kumpulan muzik ini juga pernah mengadakan persembahan
selama tiga malam berturut-turut sempena Festival Gong Sarawak yang telah
berlangsung di Kuching, Sarawak dari 18 hingga 20 Nov 2011.
Nota : Info lanjut sila hubungi :
Tuan Haji Rozali bin Embong
Setiausaha
Majlis Kebudayaan Daerah, Besut
Balai Budaya, JKR 17
Jalan Tengku Long
22200 Besut, Terengganu
TELEFON : 013-933 3639
|
HULU TERENGGANU - MUZIK
KERTUK ULU
Sumber kajian lisan ialah seorang tua yang berasal dari
kampung ini yang bernama Tuan Hj. Ali bin Ismail yang berusia sekitar 70-an.
Menurut ceritanya, nama asalnya ialah Gendang Batak. Asalnya alat muzik ini
dimainkan oleh penduduk kampung di sini semasa zaman kedatangan Mat Kilau,
pahlawan Pahang yang menumpang di Ulu Terengganu.
Ketika membuat padi huma di Kampung Baong ini, sementara
tunggu padi masak, Mat Kilau telah mengambil beberapa batang buluh, mengopek
dan meloreknya serta mencipta bunyi-bunyian untuk maksud menghambat burung.
Ketika awalnya muzik tersebut hanyalah dimainkan menggunakan irama gendang
silat sahaja. Oleh kerana tiada nama sesuai, ianya hanya dipanggil Gendang
Batak sahaja.
Gendang Batak diperkembangkan semula oleh Tuan Hj. Ali
bin Ismail dengan bantuan beberapa orang penduduk kampung sekitar tahun 2002
setelah mendapat sokongan dan nasihat beberapa orang penggiat seni dan pegawai
dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu ketika itu.
Sekitar tahun 2004, kumpulan muzik ini mula diangkat dan
dibawa membuat persembahan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara,
Terengganu di banyak tempat sekitar negeri Terengganu. Setelah menerima nasihat
daripada pegawai jabatan ini terutamanya Encik Azaha Othman, Rosmadi Abdul
Rahim dan Maroof Seman serta penggiat seni iaitu Sarifuddin Hj. Marzuki @
Giegie yang ingin mengangkat kumpulan ini ke persada seni tempatan namanya
telah disesuaikan iaitu dari nama asalnya Gendang Batak telah ditukar kepada
Kertuk Ulu. Ianya telah diterima baik oleh masyarakat dan diguna pakai oleh
pelbagai pihak sehingga ke hari ini.
Sehingga kini, kumpulan Kertuk Ulu ini mempunyai keahlian
seramai 12 orang tetapi yang aktifnya seramai 10 orang. Kumpulan ini yang
dipimpin oleh generasi baru mula menyesuaikan persembahan dengan menggubah
lagu-lagu popular semasa dan boleh mempersembahkan 10 buah lagu dalam satu-satu
masa.
Nota : Info lanjut sila hubungi :
Encik Mohd Adam bin Isa (Mail)
Ketua Kumpulan Kertuk Ulu
No. 68, Kg. Baong,
21700 Kuala Berang
Terengganu Darul Iman.
TELEFON : 0148239947
|
MARANG - MUZIK
RODAT
Rodat adalah satu bentuk persembahan kesenian yang amat
popular di kalangan masyarakat, khususnya di negeri Terengganu Darul Iman.
Menurut Kamus Dewan, Perkataan 'Rodat' membawa maksud seni nyanyian Arab yang
dialun dengan iringan rebana tar. Dalam pengertian bahasa Arab pula, perkataan
Rodat membawa maksud berulang-alik, bersahut-sahutan, bersatu kembali atau juga
berbalas-balas.
Rodat biasanya dipersembahkan di dalam majlis-majlis keramaian seperti
perkahwinan, sambut menantu, berkhatan, bertindik, sambutan tahun baru atau
pelbagai majlis lain. Persembahan yang ditampilkan pula adalah gabungan di
antara nyanyian serta paluan alat muzik yang unik disebut Tarian Rodat beserta
satu bentuk tarian.
Uniknya kesenian Rodat ialah dari segi persembahan, mesej serta diperkuatkan
lagi dengan elemen seni berunsurkan Islam dan amat dihormati kerana merakamkan
pujian kepada Allah dan kisah sejarah para rasul. Sebahagian berpendapat bahawa
kesenian ini telah dibawa ke rantau ini dari Tanah Arab ataupun Timur Tengah
melalui aktiviti perniagaan dan perdagangan yang aktif kira-kira seabad yang
lalu.
Sewaktu tiba di Teluk Terengganu, pada sebelah malamnya, anak-anak kapal
berkumpul dalam kumpulan lebih kurang 20 orang sambil menyanyi-nyanyi (Rodat)
diiringi dengan sebuah alat muzik (Tar) hinggalah waktu larut malam. Alunan
lagu (Rodat) serta suara yang lunak bersama-sama tepukan alat muzik tersebut,
telah menarik minat penduduk tempatan.
Pada awal penubuhannya, Rodat dimainkan di atas tilam di dalam rumah sahaja.
Pelenggok atau disebut Awak Dayong hanyalah penari-penari lelaki biasanya
seramai 12 sahaja yang duduk atau berdiri sebaris tanpa alat muzik berhadapan
pengadi seramai antara tujuh hingga sembilan orang (penepuk Tar Rodat/selawat).
Era tahun 1950-an, Rodat dipopularkan dengan penampilan penyanyi dan penari
seramai lima orang yang terdiri dari golongan wanita dan dipanggil Mak Inang.
Kemuncaknya sekitar tahun 1950-an hinggalah awal tahun 1970-an.
Nota : Maklumat lanjut sila hubungi :
Encik Razak bin Senik (Pok Jak)
No. 1591 B, Kampung Surau Panjang,
Atas Tol 21070, Kuala Terengganu.
Tel : 017-9304494
|
No comments:
Post a Comment