Home » Perlis 


KANGAR - TEATER

SELAMPIT
       
                                                           







Tradisi selampit juga merupakan penglipurlara, tersebar luas di negeri Perlis dan Kelantan. Kelainannya, Selampit di Perlis menggunakan asap kemenyan, sementara di Kelantan menggunakan rebab sebagai muzik iringannya.

Seperti Awang Batil, penglipurlara Selampit juga mengembara dari sebuah kampung ke sebuah kampung untuk mempersembahkan cerita-ceritanya terutamanya sekali di rumah kenduri perkahwinan. Lazimnya penglipurlara ini akan bercerita di atas balai atau di tengah-tengah rumah dan dikelilingi oleh penonton-penonton. Ceritanya juga panjang, bersiri-siri dan bersambung bagi beberapa malam. Ketika bercerita, kemenyan akan dibakar dan asap akan berkepul-kepul keluar di hadapannya dan tanpa asap kemenyan maka terputuslah ceritanya. Selampit akan bercerita sambil melakukan berbagai aksi seperti bersilat, menyanyi, berpantun dan mengubah nada suara dan bahasa seperti watak dalam ceritanya dengan menggunakan bahasa berirama.
Di antara cerita-cerita yang dipersembahkannya ialah Selindung Bulan Kedah Tua, Si Suton, Anak Rusa Nani, Malik Sipulazan dan Wan Empuk Wan Malini. Cerita-cerita ini merupakan satira rakyat yang tinggi nilainya. Di samping menghibur, motif cerita-cerita tersebut juga mengandungi pengajaran dan teladan yang baik kepada masyarakat.
Tokoh Selampit yang terakhir di Perlis iaitu Pak Ismail bin Hassan yang lahir pada tahun 1909 telah meninggal dunia pada tahun 1985 dan sehingga kini tiada pewaris mahupun pengganti. Namun, maklumat tentang Selampit tetap akan disimpan sebagai rujukan di masa-masa akan datang.
Nota : Maklumat lanjut sila hubungi :

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis

Kompleks JKKN Perlis
Persiaran Wawasan Kangar
01000 Kangar
Perlis
Tel : 04-979 3604                                                                


Home » Perlis 


PADANG BESAR - TEATER

AWANG BATIL
          
                                                         







Awang Batil ialah penglipurlara yang hanya terdapat di negeri Perlis. Asal usul pada mulanya penglipurlara ini dikenali dengan nama ‘Awang Belanga’ kerana menggunakan belanga sebagai muzik iringannya. Oleh kerana belanga dipenuhi arang, penglipurlara ini menggantikan batil (bekas isi air yang diperbuat daripada tembaga) sebagai alat muzik iringan, kerana itulah ia dipanggil ‘Awang Batil’.
Suatu ketika dahulu Awang Batil akan mengembara dari sebuah kampung ke sebuah kampung dan dari sebuah rumah ke sebuah rumah untuk mempersembahkan cerita- ceritanya terutama di rumah-rumah kenduri perkahwinan.
Awang Batil begitu banyak mempusakai cerita rakyat dan sesebuah cerita yang dipersembahkannya adalah siri dan bersambung-sambung sehingga berlanjutan bagi beberapa malam. Elemen jenaka diselitkan di dalam kisah penceritaannya sambil ia memukul batil menggunakan jari jemari sebagai muzik iringan.
Pada babak tertentu, Awang Batil akan memakai topeng bagi menceritakan watak samada 'Hulubalang' atau 'Ahli Nujum'. Topeng tersebut diperbuat daripada kayu yang biasanya disapu cat warna merah dan putih.
Di rumah kenduri perkahwinan, Awang Batil akan mempersembahkan cerita di sebuah pondok kecil yang tingginya mencapai 3 hingga 4 meter. Para penonton akan duduk di mana sahaja mengelilingi pondok tersebut mengikuti ceritanya sambil ketawa keriangan.
Nota : Maklumat lanjut sila hubungi :

Encik Romli Mahmud

Kampung Pokok Sena,
02500 Chuping,
Perlis
Tel : 016-492 8879                                                                  


No comments:

Post a Comment