JELEBU – MUZIK
TUMBUK KALANG
Di kalangan masyarakat petani dan pesawah, mereka
menganggap musim berpesta ialah musim menuai padi. Pada ketika ini anggota
masyarakat bergembira kerana mendapat hasil daripada titik peluh yang telah
dicurahkan di sawah ladang selama ini. Sudah menjadi kebiasaan setiap kali
musim menuai padi menjelang tiba, mereka akan mengadakan temasya mengemping
padi yang dimeriahkan dengan permainan tumbuk kalang. Kerap kali permainan
Tumbuk Kalang diadakan dari satu rumah ke satu rumah dan memakan masa beberapa
malam. Alat - alat muzik yang mengiringi persembahan seperti Caklempong, Jidur,
Gong, Tumbuk Kalang, Rebana dan Conga.
|
KUALA PILAH – MUZIK
BONGAI
Bongai merupakan muzik yang tidak asing lagi di Negeri
Sembilan. Bongai boleh dikategorikan sebagai lagu - lagu tradisi untuk
masyarakat Negeri Sembilan khasnya. Bongai amat popular dalam masyarakat Negeri
Sembilan di dalam majlis keramaian yang melibatkan perkahwinan. Bongai dicipta
daripada dua perkataan iaitu perkataan “Bong” dan perkataan “Aye”. Perkataan
"Bong" bermaksud “seseorang yang dihormati” manakala perkataan “aye”
bermaksud “saya".
Nyanyian
Bongai selalu dipersembahkan dalam bentuk berbalas pantun dan boleh dinyanyikan
secara solo, berduet dan beramai - ramai. Manakala, antara lagu yang popular
pula ialah Cantik Manis, Kapeh, Irama Budu Landai, Donak Donai dan Anak Bocek.
Peralatan alat muzik yang selalu mengiringi persembahan muzik Bongai seperti
caklempong, accordian, gong, rebana dan tiupan serunai atau salung
|
REMBAU – MUZIK
DIKIR REBANA
Ia biasa dipanggil dengan berbagai - bagai nama seperti
Dikir Arak atau pun Arak Dikir. Perkataan Dikir ini besar kemungkinannya
berasal daripada perkataan Arab iaitu Zikir yang bermakna mengingat atau memuji
Allah. Ini bertepatan sekali dengan seni kata yang digunakan di dalam Dikir
Rebana ini. Kebanyakannya dari bahasa Arab yang dipetik dari Kitab Berzanji
yang kebanyakan isinya memuji kebesaran Allah dan Rasulnya. Di Negeri Sembilan
khususnya di daerah Rembau, Dikir Rebana selalu dipersembahkan dalam bentuk
nyanyian beramai - ramai yang diiringi oleh beberapa buah gendang yang
dipanggil rebana yang dimainkan dengan pukulan - pukulan yang tertentu,
biasanya untuk memeriahkan dan mengarak pengantin malah untuk mengarak pembesar
- pembesar yang datang berkunjung ke sesuatu tempat.
|
PORT DICKSON – MUZIK
MUZIK GAMELAN JAWA
Muzik Gamelan merupakan salah satu muzik yang mula
bertapak pada tahun 1800. Pada awalnya perkembangan gamelan di negeri ini,
muzik tersebut hanya terdapat di istana sahaja dan dimainkan pula oleh kaum
kerabat diraja. Namun pada hari ini muzik gamelan bukan lagi menjadi muzik di
dalam istana malah sudah menjadi salah satu cabang muzik antarabangsa dan telah
menjadi hiburan pada golongan elit serta dijadikan sebagai muzik tradisional
yang menjadi identiti rakyat di sekitar kawasan daerah Port Dickson. Antara
peralatan alat muzik Gamelan ini seperti gong agong, gong suwukan, kempul,
kenong, keromong / bonang , garon demung, garon burung, garon penerus / pekin,
glentem, gambang kayu dan gendang gamelan.
|
TAMPIN – MUZIK
CAKLEMPONG
Muzik tradisional caklempong dikatakan telah dibawa ke
Tanah Melayu oleh masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat yang menetap di
Negeri Sembilan seawal kurun ke-14. Masyarakat Minangkabau memanggil caklempong
sebagai talempong.
Di dalam tradisi terdahulu, selain daripada tujuan untuk
berhibur, caklempong turut memainkan peranan penting di dalam kehidupan
seharian masyarakat Minang seperti menyatupadukan penduduk setempat caklempong
dimainkan semasa upacara pertabalan Yang Dipertuan Besar . Caklempong dijadikan
sebagai muzik iringan dan dimainkan untuk pelbagai tujuan antaranya ialah
upacara perkahwinan, perasmian, keraian, muzik iringan pencak silat, tarian dan
sebagainya.
Muzik caklempong kini telah diterima oleh masyarakat
majmuk di Malaysia sebagai muzik warisan bangsa milik semua rakyat Malaysia. Ia
tidak lagi hanya tertumpu di Negeri Sembilan sahaja malah, muzik caklempong
telah diajar di institut perguruan seluruh negara dengan tujuan untuk
mengetahui salasilah dan asal usul muzik tersebut selain menyemai semangat
kecintaan kepada muzik tradisional di Malaysia.
|
No comments:
Post a Comment