Home » Pahang


KUANTAN – TARI

TARIAN GAMELAN
          
                                                






Gamelan mula diperkenalkan di Pahang sewaktu zaman pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah yang pertama, yang ditabalkan pada 06 Ogos 1882 hingga 09 Mei 1914. Menurut Puan Radiah, ketika beliau berkhidmat di Pejabat Lembaga Penduduk dan Perancangan Keluarga pada awal tahun 1970-an, Tarian Gamelan ditarikan oleh kaum wanita sehingga sekarang. Puan Radiah merupakan salah seorang penari sambilan Kumpulan Ribut di bawah pengurusan Belia dan Pelancongan yang mendapat tunjuk ajar daripada Encik Omar yang berasal dari Terengganu. Encik Omar juga lebih dikenali sebagai Mat Omar (arwah) sebelum beliau berkhidmat di Kompleks Budaya Negara (kini dikenali sebagai Istana Budaya). Ada beberapa Tarian Gamelan yang popular pada masa itu, antaranya Tarian Timang Burung, Tarian Tenun dan Tarian Togok. Tarian Timang Burung dicipta berdasarkan pergerakan burung, Tarian Tenun pula menggambarkan dayang-dayang di dalam istana yang tengah menenun benang sutera untuk dijadikan kain manakala Tarian Togok pula adalah tarian berkaitan peperangan.
Menurut Puan Radiah, kalau pada masa dahulu, Tarian Gamelan seperti Tarian Timang Burung mempunyai busana tersendiri yakni terdapat lipatan kipas di lengan baju di paras siku dan menggunakan kipas tenun sebagai props. Tarian Tenun pula hanya berkemban dan bahagian bahu ditutupi oleh bunga teratai (dikenali dengan panggilan ‘La’ pada masa sekarang). Busana Tarian Togok pula, lengan baju hanya sampai ke paras siku. Kain pula lipatan ‘tindih kasih’ di bahagian belakang dan ada pula berlipat di sisi kiri atau kanan. Selendang merupakan aksesori yang tidak pernah ditinggalkan kerana penggunaan selendang boleh mencerminkan apa yang mahu disampaikan. Hiasan kepala pula seperti Gerak Gempur, Subang dan Pemanis Dahi. Penari akan memakai Pending (berfungsi sebagai tali pinggang dan mempunyai kepala berbentuk bujur), gelang tangan dan gelang kaki sebagai aksesori tambahan. Menjadi kebiasaan tarian ini akan diiringi dengan alat muzik Gamelan dan pola lantai mengikut kreativiti koreografer.
Nota : Info lanjut sila hubungi 013-927 0537 (Puan Radiah Abdul Hamid).                                                                           


Home » Pahang


PEKAN - TARI

TARIAN KELUNDANG
          
                                                         







Tarian Kelundang merupakan sebuah tarian selamat datang yang ditarikan kepada pengunjung penempatan orang asli suku kaum Jakun, di perkampungan orang asli Gumum Tasik Chini Pahang.
Tarian Kelundang mendapat nama daripada bahan yang digunakan dalam tarian tersebut iaitu batang pokok kelundang yang telah dipotong dan digantung pada ketinggian dua kaki (pemegang seperti kaki gong) akan diketuk dan mengeluarkan bunyi sebagai muzik iringan ketika persembahan diadakan.
Tarian ini merupakan gerakan asas Sewang. Pola lantai yang digunakan ringkas iaitu bulatan dan memanjang. Ketika persembahan, seorang penyanyi akan menyanyikan lagu dalam bahasa Jakun yang mengandungi pantun-pantun meraikan pengunjung dan menceritakan keindahan Tasik Chini.
Kebiasaan tarian ini disertai sekurang-kurangnya 15 orang penari termasuk pemuzik dan penyanyi.
Nota : Info lanjut sila hubungi 019-977 0141 (Cikgu Akit).                                                                  



Home » Pahang


TEMERLOH – TARI

TARIAN PIRING
      
                                                         






Tarian Piring Kuala Tekal telah lama bertapak di Kuala Tekal. Kewujudannya dipercayai dibawa bersama rombongan Sultan Pahang dari Pagar Ruyung Indonesia semasa pembukaan kawasan tersebut pada masa dahulu (tokoh tidak dapat mengingati secara jelas kerana dalam keadaan uzur). Menurut Encik Shaari atau lebih dikenali dengan nama Pak Ngah Ghie, beliau mula menari Tarian Piring ini pada umur 15 tahun sehingga beliau mendirikan rumahtangga dan terus menurunkan ilmu menari Tarian Piring kepada anak saudara beliau.
Tarian Piring ini pada masa dahulu akan dimulakan dengan persembahan silat terlebih dahulu dan setelah selesai baru Tarian Piring ini ditarikan oleh penari yang sama. Kerana itu kita dapat melihat ada unsur-unsur seni silat di dalam setiap pergerakan tarian tersebut. Pak Ngah Ghie berkata, tiada syarat atau prasyarat berkaitan jumlah penari yang dibenarkan mahupun tempat persembahan bakal diadakan. Dahulu, persembahan silat ini biasa diadakan di gelanggang silat, di majlis-majlis perkahwinan dan untuk majlis yang dihadiri oleh orang-orang kenamaan dan masih diamalkan sehingga ke hari ini.
Alat muzik yang digunakan masa persembahan piring terdiri daripada Rebana Ibu, Gong Anak dan Gendang Silat. Untuk menambahkan lagi kemerduan muzik, cincin yang diperbuat daripada besi atau timah akan dipakaikan pada hujung jari telunjuk atau jari hantu setiap penari. Cincin ini akan diketukkan di bawah piring sewaktu menari mengikut rentak muzik utama. Persembahan akan dimulakan dengan mengesot selangkah ke hadapan dan angkat sembah dalam keadaan duduk di atas tumit dan berdiri sedikit demi sedikit. Untuk mengakhiri persembahan, penari akan kembali ke posisi asal, piring pula akan diletakkan ke kiri dan kanan badan, angkat sembah dan mengesot ke belakang sebelum bangun.
Busana yang digunakan ketika membuat persembahan ini ialah baju Melayu lengkap bersampin, bertanjak (tanjak tiga segi) dan para penari wanita pula dibenarkan untuk memakai tudung.
Nota : Info lanjut sila hubungi 019-924 8163 (Encik Shaari Mohd Shah).                                                                 


1 comment:

  1. Hai.. Dimana saya boleh dapatkan info mengenai tarian tenun ini ya?

    ReplyDelete